Wednesday, December 1, 2010

Friday, May 14, 2010

John Sudah Dewasa.

Ini cerita fasal John - bukan perihal John the baptist. Bukan Abang John tukang gunting rambut Lembah Keramat. Bahkan bukan John Grisham. Mungkin kecenderungan terhadap karya-karya Grisham ini tinggi mempengaruhi John. Tetapi ini kisah John. Tiada bersangkutan dengan Grisham. Ini John Margarette D'souza anak lelaki kelas Vaishya. Berbadan kurus, bibirnya kesang, telinga panjang dan berkepala botak seperti orang berpenyakit Androgenetic Alopecia.
John sa-orang seniman muda yang luar biasa. Dia mengamalkan cara menulis yang agak unik - menggunakan ejaan van Ophuysen dan dengan tangan kiri (sebut: kidal) dalam 'diari suci'-nya. Diari suci ini sebenarnya kepunyaan saorang tukang paip dari Cuba; dicuri John semasa arwah emak tirinya yang biang sedang berseketiduran dengan tukang paip dari Cuba tersebut. Hingga ke saat ini, diari yang dilabel suci ini masih lagi di haribaan John, menjadi teman paling setia menentang segala punca kejahatan yang meneraha daya demokrasinya dan memberi John petunjuk yang baik untuk lebih kritis. Tidak dapat dinafikan lagi kesucian diari ini.

John bukanlah jenis remaja kelabut. Tatapi tidak juga rajin ke Synagogue. John lebih gemar menghabiskan sepetang suntuknya mengelai di pohon abaka menulis diari, bertemankan alunan lagu-lagu tenang dari kumpulan Mumm-Ra, adakalanya John meniban diari-nya berkali-kali melayan angin petang yang bertiup tanda ketenangan mutlak yang diraihnya. John ada dunianya sendiri. John bukanlah orang yang berkiblatkan teknologi. dan dia pastilah tidak moden. dia tidak canggih. Namun, dia jujur dengan dirinya. John yakin suatu masa nanti pasti akan disalurkan sesuatu berbentuk penganugerahan buat dirinya menerusi landasan karma. Dengan keyakinan yang ada, maka, dia terus hidup dan hidup dengan diarinya. John membuat penilaian pada dirinya yang dia tidak akan sekali-kali menyalahkan sebarang zat yang membentuknya. Dia ini makhluk ciptaan yang cekal. Tak boyak dalam menghitung hari-hari kedewasaanya. Masanya pasti akan tiba!

Petang ini, 15 mei, di pohon abaka - terciptanya satu revolusi agung penuh debaran, mengesah pemuda Vaishya itu, waktu itu terasa darah meruap naik ke otak, mengangah jiwa, degup jantung begitu deras mengikut rentak gong tarian singa, meledaknya bom molotov seketika memecah kesunyian. Kelihatan olehnya bidadari dari 'garden of eden'. Lumpuh John seketika langsung mati wataknya. Bidadari ini menyita tulang rusuk, urat-urat saraf tunjang, limpa, usus dan segala isi dalam badan John yang tiada sebarang unsur material. dipendekkan cerita, John ternampak seorang wanita yang melintasi tempat melepaknya. Wanita itu berbau harum. Ada ciri-ciri fizikal yang menentukan kewanitaannya. Cukup 'chic'. Nampaknya, John jatuh cinta kepada manusia.

J
ohn bukan bodoh cuma tidak meneroka. John tak pernah melihat wanita apatah lagi menghidu, jauh sekali menyentuh. John persis remaja lain di tempatnya. Pernah menyukai seseorang. John pernah menyukai beberapa lelaki yang hadir dalam hidupnya sebelum ini iaitu Arjuna, Arjan, Arian dan Arnab. Tetapi John pemalu. Dia lebih selesa memendam .
Tetapi kali ini lain. John sudah sampai seru. John simpan nekad untuk mengenali susuk ini. John tidak lagi mahu duduk memerhati bagaikan penunggu. janji untuk mencari wanita ini mesti dikotakan. Cita-citanya kemas tersisip rapi di dalam kepalan tinjunya. Demam John sudah kebah. Apakah John sudah dewasa? Ya, John sudah de-wa-sa.

*************************